| Syidatina Fatimah, Penghulu Wanita Syurga |
|
muslimah writes "Dia membesar dalam
suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih
memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil
alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas
rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.
Di sebalik
kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling kuat beribadah.
Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas
ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah
daripada bermunajata dan beribadah kepada Allah SWT. Malam- malam yang
dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan
sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara
halusnya mengalunkan irama Al Quran.
Di waktu umurnya mencapai
18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya.
Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya
tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. Setelah berkahwin
kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan
penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah,
suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW yang
diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam.
Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang
pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap redha
dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra
daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r.ha, saat-saat
berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah
SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.
Sepanjang
pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi
temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin,
Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air,
berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang
40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik.
Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan
tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.
Pernah
suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum,
Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat
keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada
Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung,
mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar
Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh
disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas
terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu,
sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu
di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah
payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka
inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.
Lalu dipujuknya Fatimah
r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda
mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala
penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada
Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayidatina
Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga
mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.
Dalam
pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu
bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang
lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain
menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari
pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering
kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana
Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar
sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.
Namun,
pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali
tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina
Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air
muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak dia
mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil
merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu,
tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.
"Wahai
Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu,
nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah SAW
memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke
pengetahuan baginda. Begitu sekali kedudukan seorang suami yang
ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa
seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat
berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah
disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah,
meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang
menyusahkan Sayidina Ali k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu
terhadapnya.
Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut
sama merawat luka Rasulullah. Dia juga turut bersama Rasulullah semasa
peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan
'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir
ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi
ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga
Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan
sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.
Dia menangis kerana
ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun,
sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan
berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina
Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam
usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah.
Begitu
sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam
al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat
begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu,
hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan
wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong
serta membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan
kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa
merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri),
tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka
agar bertaqwa kepada Allah SWT. Justeru, wanita yang berjaya di dunia
dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa
terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat
bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita"
|
|
Posted on Sunday, August 31 @ 15:33:57 EDT by islah |
|
|
|
| |
|
Average Score: 5 Votes: 2

|
|
| |
|
|
|