| MUZIK: HUKUM DAN KEDUDUKANNYA |
|
Hakinaz08 writes "MUZIK: HUKUM DAN KEDUDUKANNYA
PADA PANDANGAN SYARAK
Oleh: Ustaz Ridhwan Hj Hashim BA (Univeristi Al-Azhar), MA (UKM) Bekas Imam Masjid Subang Jaya, Selangor.
MUQADDIMAH
Muzik pada umumnya merupakan alat-alat tertentu yang timbul daripadanya alunan bunyi dan irama sama ada ia berbentuk yang dipukul atau dipalu seperti gendang, rebana dan lain-lain atau yang ditiup seperti seruling, serunai, trompet dan lain-lain atau yang dipetik seperti gambus, gitar, biola dan seumpamanya. Kedudukan hukum muzik ini bergantung kepada apa jenis alat dan penggunaannya kerana ada diantaranya yang diharamkan oleh syarak dan ada pula diharuskan. Oleh itu kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:
a) Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syarak, maka kedudukan muzik itu adalah haram.
b)
Menggunakan alat-alat muzik yang diharuskan oleh syarak, maka
kedudukannya adalah harus seperti memukul ghirbal (sejenis rebana)
sewaktu perkahwinan.
c) Bermain alat
muzik yang harus, namun telah dicampur dengan perkara-perkara yang
haram seperti nyanyian-nyanyian oleh golongan wanita dalam keadaan
mendedahkan aurat di hadapan golongan lelaki ajnabi atau bukan mahram
dengan suara yang merdu, lirik lagu yang mengandungi unsur-unsur cinta
asmara, percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan,
disertai dengan arak, judi dan sebagainya. Para ulamak telah sepakat
menghukumkan bermain alat muzik dalam keadaan seperti ini adalah haram.
Persoalan yang timbul sekarang ialah yang
mana satukah alat muzik yang diharamkan oleh syarak dan mana satu yang
diharuskan. Adakah semua alat muzik itu diharamkan atau semuanya
diharuskan atau sebahagiannya diharamkan dan sebahagiannya pula
diharuskan. Adakah pengharaman itu ke atas alat-alat muzik itu sendiri
atau kerana faktor-faktor luar yang beserta dengan alat-alat muzik
tersebut. Inilah yang akan kita bahaskan di dalam risalah yang kecil
dan ringkas ini.
PANDANGAN ULAMAK MENGENAI ALAT MUZIK
Terdapat
pelbagai pandangan di kalangan ulamak mengenai perkara di atas. Mereka
tidak sepakat mengenainya disebabkan perbezaan pandangan dalam memahami
hadis-hadis yang menyebut mengenai alat-alat muzik dan juga dari segi
penentuan kedudukan martabat hadis-hadis yang diriwayatkan mengenainya.
Golongan Ulamak Yang Pertama
Sebahagian
ulamak mengharamkan hampir semua bentuk alat-alat hiburan atau muzik.
Mereka berdalilkan kepada beberapa hadis yang menyebut tentang
alat-alat muzik yang ditegah oleh syarak sepertimana berikut:
a) Diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:
Bahawa
Allah ‘Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku menjadi Nabi dengan
membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah
memerintahkan Aku supaya menghapuskan alat ma’azif (alat
bunyi-bunyian), alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat
awtar (alat-alat muzik bertali), salib dan perkara-perkara jahiliah
………..( hingga ke akhir hadis ). ( Riwayat Abu Daud al Thoyalisi )
Hadis
ini diriwayatkan oleh al Imam Abu Daud al Thoyalisi dan lafaz hadis ini
dari riwayatnya dan juga diriwayatkan oleh al Imam Ahmad bin Hanbal.
Ahmad bin Mani’Al Harits Ibnu Abu Usamah pula meriwayatkan dengan lafaz
yang bermaksud:
Bahawa Allah Azza wa
Jalla telah membangkitkan Aku (menjadi Nabi) dengan membawa rahmat dan
hidayat kepada sekelian alam dan Allah memerintahkan Aku supaya
menghapuskan mazamir, ma’azif, arak dan berhala-berhala yang disembah
pada zaman jahiliah ……..( hingga ke akhir hadis ).
Hadis
Abu Umamah ini terdapat pada rawinya Ali bin Yazid al Ilhani dan dia
adalah lemah keadaannya, tetapi oleh kerana ia disokong oleh sumber
yang lain seperti hadis Ibnu Mas’ud dan lain-lain sahabat maka hadis
ini menjadi kuat. Antara hadis yang menyokong hadis itu juga ialah
hadis riwayat Ibnu ‘Abbas r.a. yang telah berkata: الكوبة حرام والدن حرام والمعازف حرام والمزامير حرام Maksudnya:
Kubah itu haram, dannu itu haram, ma’azif itu haram dan alat muzik
jenis bertiup itu haram. (lihat bentuk gambar yang dilampirkan)
Hadis
ini diriwayat oleh al Imam Musaddad dan al Imam al Baihaqi dalam al
Sunan al Kubra secara mauquf dan diriwayatkan oleh al Bazzar secara
marfu’.
b) Dari Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: Aku
diperintahkan untuk merobohkan alat gendang dan alat hiburan yang
ditiup. Dikeluarkan oleh al Dailami
c)
Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam telah
bersabda yang bermaksud: Apabila tiba hari kiamat, Allah Azza wa Jalla
berfirman: Mana mereka yang menjauhkan pendengaran dan pemandangan
mereka daripada alat-alat permainan syaitan? Asingkan mereka…..(hingga
ke akhir hadis) Dikeluarkan oleh al Dailami
Berkata
al Imam Ibnu Hajar, hadis ini jelas menunjukkan pengharaman alat-alat
hiburan yang mendatangkan sukaria dan gembira yang membawa kepada
kelalaian.
d) Daripada Abu Hurairah
r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang
berkmasud: Satu kumpulan daripada umatKu pada akhir zaman, ditukarkan
mereka menjadi monyet-monyet dan babi-babi. Sahabat bertanya: Ya
Rasulullah, adakah mereka orang-orang Islam ? Sabda Baginda: Ya, mereka
mengucap dua kalimah syahadah iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan yang
berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Aku adalah pesuruh Allah dan
mereka mengerjakan puasa. Para sahabat bertanya: Mengapa mereka menjadi
begitu, ya Rasulullah? Sabda Baginda: Mereka bermain dan berhibur
dengan alat-alat bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita dan dengan rebana
serta mereka minum berbagai jenis arak dan mereka bermalam dengan
minuman mereka dan hiburan riuh rendah mereka, maka pada pagi hari
mereka telah ditukarkan rupa menjadi monyet dan babi.
Hadis
ini diriwayatkan oleh al Imam al Musaddad dan Ibnu Hibban dengan
lafaznya yang bermaksud: Telah bersabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi
wasallam: Tidak berlaku hari kiamat sehingga ada satu
kumpulan……..(hingga ke akhir hadis sebagaimana riwayat di atas ).
e)
Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Akan
berlaku pada umatKu oleh beberapa kumpulan atau kaum menghalalkan zina,
sutera (dipakai oleh kaum lelaki), arak dan ma’azif (alat-alat
bunyi-bunyian). (Hadis Riwayat al Bukhari dan Abu Daud)
Demikianlah beberapa hadis yang menjadi dalil kepada sebahagian ulamak yang mengaharamkan alat-alat hiburan (muzik).
Dalam
kitab al Muhazzab oleh al Imam Abu Ishak al Syirazi ada menjelaskan
bahawa bermain alat-alat muzik itu haram sekalipun tidak diiringi
dengan lagu. Kata al Syirazi:
ويحرم إستعمال الألات التى تطرب من غير غناء كالعود والطنبور والمعزفة والطبل والمزمار Ertinya:
Dan diharamkan menggunakan alat-alat (muzik) yang dibunyikan tanpa ada
lagu seperti gitar, thunbur, ma’zifah, thabl (gendang) dan mizmar.
Adapun
dalilnya ialah firman Allah yang bermaksud: Dan ada di antara manusia
yang membeli “ Lahwa al Hadis ” bagi tujuan menyesatkan manusia
daripada jalan Allah.. ( Surah Luqman: 6 )
Berkata Ibnu Abbas: “ Lahwa al Hadis ” sesungguhnya itulah alat-alat hiburan.
Al Imam al Nawawi mengatakan dalam kitabnya al Minhaj dalam Kitab al Syahadat:
ويكره الغناء بلا آلة وسماعه ويحرم استعمال آلة من شعار الشربة كطنبور وعود وصنج ومزمار عراقي واستماعها. Ertinya:
Makruh menyanyi dengan tidak disertai alat (muzik) dan mendengarnya.
Dan adalah haram menggunakan alat (muzik) yang menjadi syiar
peminum-peminum (arak) seperti thunbur, gitar, shanj dan mizmar ‘iraqi
dan haram mendengarnya.
Demikianlah
pandangan beberapa orang ulamak besar dalam mazhab syafi’e mengenai
hukum menggunakan muzik dan mendengarnya. Pandangan yang sama juga
dikemukakan oleh beberapa ulamak besar yang lain seperti al Syeikh Ibnu
Hajar dalam kitabnya al Zawajir dan juga al Imam al Ramli al Syafi’e
sebagaimana tercatat dalam kitab Nihayah al Muhtaj ila Syarh al Minhaj
(8/296), yang menggambarkan inilah pandangan umum dan masyhur dalam
mazhab syafi’e.
Ulama-ulama dalam mazhab
syafi’e bukanlah satu-satunya mazhab yang mengharamkan hampir kesemua
alat-alat muzik, bahkan didapati mazhab-mazhab yang lain seperti Hanafi
dan Hanbali juga berpandangan sedemikian.
Berkata
Ibnu al Qayyim dalam kitabnya Ighathah al Luhfan min Masyahid al
Syaithan (1/255-256): Ertinya: Mazhab Abu Hanifah dalam perkara ini
adalah mazhab yang paling keras dan kata-katanya mengenai perkara ini
adalah kata-kata yang paling tegas. Para sahabat Abu Hanifah dengan
tegas mengatakan haram mendengar semua jenis alat hiburan seperti
seruling, kompang bahkan termasuk memukul-mukulkan tongkat kecil (cota)
sekalipun. Mereka dengan tegas menyatakan bahawa ianya adalah maksiat,
boleh membawa kepada fasiq dan kesaksian ditolak.
Dalam Mazhab Hanbali, berkata Imam Ibnu Qudamah al Hambali dalam al Mughni yang boleh disimpulkan sebagaimana berikut:
Hiburan itu tiga keadaan:
a)
Haram- iaitu memetik tali-tali alat permainan dan alat-alat yang
ditiup, memalu gambus,thunbur dan lain-lain alat hiburan. Sesiapa yang
sengaja mendengarnya maka ditolak kesaksiannya kerana diriwayatkan
daripada Saiyyidina Ali r.a. bahawa Nabi Sollallahu ‘alaihiwasallam
bersabda yang maksudnya: Apabila telah nyata pada umatKu lima belas
perkara nescaya bala akan menimpa mereka. Maka Baginda menyebutkan di
antaranya: Muncul alat-alat nyanyian dan alat-alat hiburan.
b)
Harus- iaitu duff (kompang), kerana Nabi Sollallahu ‘alahi Wasallam
telah bersabda yang maksudnya: Zahirkanlah kerja perkahwinan itu kepada
orang ramai dan kamu palulah kompang padanya.
c) Makruh- iaitu memalu kayu pada kayu apabila tidak dicampur dengan perkara haram atau makruh.
Berkata
al Imam al Sayyid ‘Alwi al Maliki al Husni: Ketahuilah bahawa alat-alat
hiburan yang mempunyai tali seperti rabab, gitar dan qanun haram
mendengarnya dan haram memainkannya mengikut pendapat yang masyhur dari
mazhab yang empat dan wajib mengingkarinya (mendengar alat-alat
tersebut) dan memberikan nasihat mengenainya. Adapun memukul rebana
tidaklah mengapa dalam majlis pernikahan berdasarkan hadis Nabi
Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Iklankanlah pernikahan dan
kamu pukullah rebana (al Duff) di atas pernikahan itu. Namun tidak
harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat
yang masyhur tetapi lawan pendapat yang masyhur, harus memukul (alat
rebana) dalam semua upacara majlis kegembiraan orang-orang Islam.
Golongan Ulamak Yang Kedua
Di
sana terdapat sebahagian ulamak yang mengharuskan alat-alat nyanyian
atau muzik. Antara ulamak-ulamak tersebut ialah Al Syeikh Mahmud
Syaltut. Beliau telah menjelaskan dalam fatwanya Al Fatawa Dirasah li
Musykilat al Muslim al Mu’asir fi Hayatihi al Yaumiyyah wa al ‘Ammah di
mana katanya:
“ Mendengar alat-alat
bunyian yang ada irama dan suara yang merdu tiada boleh dihukumkan
haram sebagai ia suara alat atau suara manusia atau suara binatang.
Hanya haram itu apabila digunakan pada perkara haram atau digunakan
untuk tujuan haram atau ia melalaikan daripada perkara yang wajib pada
syara’ ”.
Selain itu, Dr. Ahmad al
Syarbashi juga menghimpunkan segala fatwa ulamak dalam kitabnya
Yas’alunaka ‘an al Din wa al Hayah dalam perkara mendengar muzik dan
nyanyian. Daripada perbincangannya itu dapat disimpulkan bahawa beliau
berpendapat, fatwa al ‘Allamah al Syeikh Mahmud Syaltut itu adalah
pendapat pertengahan yang adil di antara ulamak yang mengharamkan dan
ulamak yang mengharuskan dalam perkara muzik dan nyanyian itu.
Al
‘Allamah al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi menegaskan dalam kitabnya
Idhoh al Dilalat fi Sama’i al Alat -(Menjelaskan dalil-dalil dalam
masalah yang berkait dengan hukum mendengar alat-alat muzik) - bahawa
hukum haram segala bentuk alat muzik yang disebutkan di dalam hadis
bukanlah disebabkan alat-alat muzik itu sendiri atau suara dan bunyian
yang terhasil daripadanya. Kalaulah dihukumkan dengan sebab yang
demikian, maka sudah tentulah bunyi-bunyian yang merdu seperti suara
burung akan termasuk dalam hukum haram. Sedangkan ulamak telah
bersepakat bahawa suara kicauan burung dan seumpamanya itu tidaklah
dihukum haram. Bahkan menggunakan dan mendengar alat-alat muzik dihukum
haram adalah disebabkan faktor-faktor luar yang haram yang beserta
dengannya dan juga yang membawa kepada “ al Lahwu ”. Menurut beliau “
al Lahwu ” ialah perkara-perkara yang dengannya menyebabkan manusia
lalai daripada melakukan ketaatan dan menunaikan kewajipan kepada Allah
serta membawanya kepada melakukan perkara-perkara yang haram dan
dilarang oleh syariat.
Beliau seterusnya
menegaskan bahawa sesiapa yang memerhatikan semua hadis yang datang
daripada Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam mengenai alat-alat
muzik ini, dia akan mendapati larangan-larangan tersebut dikaitkan
dengan menyebut ‘ al Malahi ’ – iaitu perkara-perkara yang melalaikan-
dan juga menyebut tentang arak, penyanyi-penyanyi perempuan yang
mendedahkan aurat, perkara-perkara keji dan kefasikan bersamanya. Ini
bermakna ia dihukum haram dengan sebab perkara-perkara haram tersebut
bukannya alat muzik itu sendiri. Hadis-hadis yang tidak menyebutkan
perkara-perkara tersebut adalah hadis-hadis Ahad yang tidak boleh
dithabitkan hukum dengannya secara qot’ie (putus dan muktamad). Bahkan
hadis-hadis yang bersifat mutlak (umum) ini, dikhususkan oleh
hadis-hadis yang menyebut tentang perkara-perkara haram yang mengiringi
permainan muzik. Dengan itu, maka hadis-hadis yang menyebut tentang
pengharaman alat-alat muzik hendaklah dilihat dalam konteks bahawa
ianya disertai dengan perkara-perkara haram dan boleh menyebabkan
kelalaian kerana di sana terdapat hadis yang melarang bermain muzik
dikaitkan dengan perkara tersebut.
Beliau
juga mensyaratkan tujuan dan niat yang baik walaupun tidak disertai
dengan perkara-perkara haram dan melalaikan ketika bermain muzik dan
mendengar nyanyian yang diharuskan. Niat memainkan peranan. Sekiranya
dia mempunyai niat atau cita-cita yang tidak baik melalui alat muzik
yang dimainkan serta nyanyian harus yang didengarinya seperti
bercita-cita atau berkhayal meminum arak, berfoya-berfoya dan
berseronok dengan perempuan ketika bermain muzik dan mendengar lagu itu
atau dia mahu kalau boleh perkara tersebut ada dalam majlis tersebut,
maka hukumnya adalah haram juga. Peranan niat yang membawa kesan kepada
hukum harus dan haram ini samalah seperti peranan niat ketika membaca
al Quran bagi mereka yang berada dalam keadaan berhadas besar. Jika dia
berniat membaca al Quran maka hukumnya adalah haram dan jika berniat
zikir maka hukumnya adalah harus. Begitu juga seseorang yang minum air
teh dengan niat minum arak dan juga seorang suami yang bersetubuh
dengan isteri dalam keadaan dia niat menggauli atau menggambarkan
isterinya itu adalah perempuan tertentu yang bukan isterinya maka kedua
keadaan tersebut, hukumnya adalah haram.
Pendapat
Al ‘Allamah al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi ini turut dipersetujui
oleh al Ustaz Mustofa Ahmad al Zarqa sebagaimana tersebut di dalam
kitabnya Fatawa Mustofa al Zarqa. Bahkan beliau turut memperakui bahawa
kitab karangan Al ‘Allamah al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi tersebut
adalah sebagai rujukan terbaik dalam mengetahui hukum yang berkait
dengan masalah alat-alat muzik. Dalam kitab Fatawanya juga, al Ustaz
Mustofa Ahmad al Zarqa telah menukilkan pandangan al ‘Allamah Ibnu
‘Abidin r.a. di dalam Hasyiahnya, syarah kepada kitab Raddu al Mukhtar
di mana nas kata-katanya ialah:
“Aku
berpendapat (setelah dikemukakan hujjah dan dalil berkenaan dengan
alat-alat muzik): ini semua memberi maksud bahawa alat-alat muzik itu
bukanlah haram kerana alat muzik itu sendiri, tetapi ia di sebabkan al
lahwu ( iaitu disertai dengan perkara-perkara haram dan melalaikan
daripada menunaikan tanggunggjawab dan kewajipan kepada Allah). Hukum
ini sama sahaja sama ada orang yang mendengarnya atau bermain
menggunakannya ”. Beliau seterusnya menegaskan “ Apakah kamu tidak
lihat bahawa hukum bermain alat muzik itu, kadang-kadang harus dan
kadang-kadang dihukum haram. Ini semua adalah disebabkan perbezaan niat
dan tujuan mendengarnya. Dan sesungguhnya setiap perkara itu adalah
berdasarkan kepada tujuan dan niatnya ”.
Di
antara ulamak mutakhir di zaman kita ini yang sependapat dengan
golongan ulamak yang kedua ini ialah al Syeikh Dr. Yusuf al Qardhowi
sebagaimana dijelaskan dan dihuraikan dengan panjang lebar dalam
kitabnya Malamih al Mujtama’ al Muslim Allazi Nansyuduhu - ( Ciri-ciri
unggul masyarakat Islam yang kita idamkan) - dan juga al Halal wa al
Haram fi al Islam - ( Halal dan haram dalam Islam ). Dalam huraian
tersebut beliau telah menolak hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh
golongan yang mengharamkan alat-alat muzik dengan menyatakan bahawa
hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai alat-alat muzik adalah
dipertikaikan akan kesahihannya.
Sekalipun
hadis ke v (lihat hadis-hadis yang menjadi hujjah kepada golongan yang
mengharamkan alat-alat muzik di atas) di sebutkan di dalam kitab Sahih
al Bukhari tetapi ia termasuk dalam kategori “ al Mu’allaqat” bukan
termasuk di dalam kategori hadis yang sanadnya bersambung. Pada
sanadnya terdapat seorang perawi Hisyam bin Ibn ‘Ammar yang
dipersoalkan oleh sebahagian ahli hadis. Abu Daud berkata tentangnya:
Beliau meriwayatkan empat ratus hadis yang tidak mempunyai sebarang
sandaran. Imam Ahmad berkata: Dia tidak teliti dan lemah akal. Al Hafiz
al Zahabi pernah berkata mengenainya: Beliau jujur dan banyak riwayat,
namun ada perkara yang tidak disenangi tentangnya. Selain daripada
dipertikaikan kesahihannya, pendalilannya juga dipertikaikan. Ini
kerana perkataan al ma’azif sebagaimana dalam hadis tersebut belum ada
persepakatan tentang maknanya secara tepat. Menurut sebahagian orang ia
bermaksud “ permainan-permainan ”. Ini sangat umum. Ada juga yang
mengatakan ia bermakna “ alat-alat muzik ”.
Selain itu, hadis itu juga tidak mempunyai makna yang jelas tentang pengharamannya kerana ungkapan ( يستحلون
–yang diterjemahkan dengan makna mereka menghalalkan ) dalam hadis itu
mempunyai dua makna sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al ‘Arabi.
Makna pertama ialah dengan makna hakiki bukan majaz iaitu mereka
beriktikad bahawa perkara tersebut adalah halal. Makna kedua: ia adalah
kiasan (majaz) yang bermaksud bermudah-mudah menggunakan perkara
tersebut. Beliau juga telah menegaskan bahawa hadis ini adalah
menjelaskan tentang perilaku sekelompok manusia yang tenggelam dalam
kemewahan, kefoyaan dan arak. Mereka dikelilingi oleh arak dan wanita,
permainan dan nyanyian serta zina dan sutera. Oleh itu kita dapati Ibn
Majah meriwayatkan Hadis ini dari Abu Malik al Asy’ari dengan lafaz
yang bermaksud:
“
Akan ada di kalangan umatKu yang akan meminum arak yang dinamakan
dengan nama lain. Kepala-kepala mereka dipenuhi dengan alat-alat muzik
dan penyanyi-penyanyi wanita. Allah akan memasukkan mereka ke dalam
tanah dan akan menggantikan rupa mereka dengan rupa kera dan babi ”.
Perkara
yang sama juga telah diriwayatkan oleh Ibn Hibban di dalam kitab
Sahihnya dan al Bukhari di dalam kitab Tarikhnya. Setiap mereka yang
meriwayatkan hadis ini bukan melalui Hisyam Ibn ‘Ammar meletakkan
ancaman itu ke atas orang yang meminum arak dan bukannya pada alat-alat
muzik tersebut.Alat-alat muzik tersebut hanya dijadikan sebagai
penyempurna dan yang mengikuti mereka.
Di
samping itu beliau juga telah menukilkan beberapa riwayat sebagimana
yang disebutkan oleh al Syaukani dalam kitabnya Nailu al Awthor bagi
menyokong dan menguatkan pandangan ulamak yang mengharuskan alat-alat
muzik. Antaranya ialah:
a) Imam Haramain
di dalam kitab al Nihayah dan Ibnu Abu al Dunya telah menyatakan: Para
sejarawan telah menukilkan bahawa Abdullah Ibn al Zubair memiliki
beberapa hamba wanita yang pandai bermain gitar, dan Ibnu Umar pernah
ke rumah beliau serta mendapati al ‘ud (sejenis alat bertali seperti
gitar dan seumpamanya) terdapat di sisinya. Ibnu Umar berkata: Apakah
ini wahai sahabat Rasulullah?. Abdullah Ibn al Zubair pun memberikannya
kepada Ibnu Umar untuk dilihatnya. Ibnu Umar menelitinya dan berkata:
Adakah ini mizan syami ( sejenis alat muzik dari Syam)?. Abdullah Ibn
al Zubair berkata: Ya, dengannya diukur akal manusia.
b)
Pengarang kitab al ‘Aqd, al ‘Allamah al Adib Abu Umar al Andalusi
menceritakan: Pada suatu hari Abdullah Ibnu Umar mengunjungi Abdullah
Ibnu Ja’far. Beliau mendapati Abdullah Ibnu Ja’far memiliki seorang
hamba perempuan yang di dalam biliknya terdapat al ‘ud. Kemudian
Abdullah Ibnu Ja’far berkata kepada Ibnu Umar: Adakah kamu rasa ia
tidak mengapa?. Katanya: Ia tidak menjadi sebarang kesalahan.
c)
Imam al Mawardi telah meriwayatkan daripada Mu’awiyyah dan ‘Amru Ibn al
‘As bahawa mereka berdua pernah mendengar bunyi al ‘ud yang dimainkan
di hadapan Abdullah Ibnu Ja’far. Bahkan Abu Fadhl Ibnu Tahir di dalam
kitabnya al Sima’ menyatakan: Tiada khilaf di kalangan Ahli Madinah
tentang keharusan al ‘ud.
d) Abu al
Faraj al Asbahani pernah menyatakan bahawa Hassan bin Thabit pernah
mendengar dari ‘Izzah al Mila nyanyian syairnya yang diiringi dengan
bunyian alat muzik.
e) Al Rawyani pernah
menceritakan dari al Qaffal bahawa Mazhab Malik bin Anas mengharuskan
nyanyian yang disertakan alat muzik. Al Ustaz Abu Mansur al Fawrani
menukilkan dari Imam Malik bahawa beliau mengharuskan al ‘ud. Manakala
Abi Talib al Makkiy telah menyebutkan dalam kitabnya Qutu al Qulub yang
dinukilkan dari Syu’bah bahawa beliau pernah mendengar bunyi gendang
besar (thonbur) di rumah al Minhal Ibnu ‘Amru iaitu seorang ahli hadis
yang masyhur.
f) Imam al Mawardi
menceritakan tentang keharusan al ‘ud di kalangan sebahagian ulama
mazhab syafi’e. Ia juga diceritakan oleh Abu al Fadhl Ibnu Tahir dari
Abu Ishak al Syirazi. Al Asnawi menyebutkannya dalam kitab al Muhimmat
dari al Rawyani dan al Mawardi. Ibnu al Nahwi meriwayatkan perkara
tersebut dari al Ustaz Abu Mansur. Ibnu al Mulaqqin menceritakannya di
dalam kitab al Umdah dari Ibnu Tahir. Al Adfuwi menceritakannya dari al
Syeikh ‘Izzuddin Ibnu Abdul Salam. Pengarang kitab al Imta’
menceritakannya daripada Abu Bakar bin al ‘Arabiy. Imam al Adfuwi juga
telah menegaskan keharusannya.
Semua
mereka itu menyatakan keharusan mendengar nyanyian (yang diharuskan
syarak) bersama dengan alat-alat muzik yang dimaklumi.
Selain
daripada Dr. Yusuf al Qardhowi, bekas Syeikh al Azhar Fadhilah al Imam
al Akbar al Syeikh Ja-du al Haq Ali Ja-du al Haq (telah meninggal dunia
pada pertengahan 90 an) juga bersependapat dengan pendapat yang
mengharuskan alat-alat muzik sebagaimana yang dapat dilihat dalam kitab
himpunan fatwa-fatwanya mengenai persoalan-persoalan semasa yang
bernama Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qodhoya Mu’asirah, juzuk ke v.
Dalam jawapan atau fatwanya yang panjang lebar mengenai hukum mendengar
alat muzik itu, beliau akhirnya membuat kesimpulan dengan berkata: “
sebagai mengambil sikap jalan tengah antara pendapat-pendapat ulamak
tersebut, maka kami lebih cenderung untuk berkata bahawa mendengar
alat-alat muzik walau apa pun jenis dan bentuknya, menghadiri
majlis-majlisnya dan mempelajarinya adalah termasuk dalam
perkara-perkara yang diharuskan. Dengan syarat ia tidak mendorong
kepada membangkitkan nafsu syahwat, perlakuan-perlakuan tidak senonoh
dan tidak disertai dengan arak, tarian-tarian, perkara-perkara yang
buruk dan fasik atau digunakan untuk perkara-perkara haram atau ia
digunakan sebagai wasilah atau alat yang membawa kepada berlakunya
perkara haram dan mungkar atau ianya boleh melalaikan daripada
menunaikan tanggungjawab dan kewajipan.
Golongan Ulamak Yang Ketiga
Golongan
ini ialah golongan yang mengharamkan beberapa jenis alat muzik dan
mengharuskan selain daripadanya. Alat-alat muzik yang diharamkan itu
ialah (al mizmar- المزمار ) seruling atau semua alat yang ditiup seperti serunai dan seumpamanya, (al awtar – الأوتار ) alat muzik bertali dan (Thoblu al Kubah – طبل الكوبة)
gendang kecil yang ramping di tengah (lihat gambar-gambar alat tersebut
sebagaimana dilampirkan). Inilah pendapat di sisi Imam al Ghazali r.a.
dan mereka yang sependapat dengannya. Ini kerana ia menjadi lambang
kepada peminum arak dan khunsa. Selain daripada alat-alat muzik
tersebut hukumnya masih kekal dengan seperti asalnya iaitu harus.
Umpamanya rebana sekalipun terdapat loceng kecil padanya, begitu juga
dengan tabuh, syahin dan gendang yang dipukul dengan kayu serta
alat-alat lain.
Al
Imam al Ghazali berhujjah dengan berkata bahawa syarak tidak
mengharamkan alat-alat tersebut kerana kelazatannya. Jikalau ia hanya
kerana kelazatannya maka perkara-perkara lazat yang lain turut
dilarang. Ia dilarang atas dasar turutan (ittiba’). Apabila arak
diharamkan, maka semua amalan peminum arak turut diharamkan bersama
iaitu alat muzik bertali dan seruling. Keadaan ini samalah seperti
pengharaman berkhalwat dengan wanita ajnabiyyah kerana ia boleh membawa
kepada persetubuhan. Begitu juga dengan pengharaman memandang ke arah
peha kerana ia bersambung dengan dua kemaluan. Diharamkan juga arak
yang sedikit sekalipun tidak memabukkan kerana ia membawa kepada mabuk.
Setiap perkara yang mendorong kepada yang haram mesti diharamkan juga
sebagai satu jalan menghalang daripada terjatuh terus ke dalam jurang
yang pasti haram. Muzik bertali dan seruling (atau seumpamanya) menjadi
haram kerana mengikuti pengharaman arak lantaran tiga alasan:
a) Ia boleh mengakibatkan seseorang itu meminum arak, kerana kelazatan yang ada padanya hanya akan sempurna dengan arak.
b)
Alat ini menyebabkan orang-orang yang baru meninggalkan arak mengingati
kembali majlis-majlis hiburan yang dihidangkan dengan arak. Ini kerana
majlis hiburan tersebut kebiasaannya diserikan dengan alat-alat muzik
tersebut. Dengan itu apabila dia bermain dengan muzik tersebut, maka ia
akan membawa kepada ingatan terhadap majlis itu. Ingatan akan mendorong
kepada kerinduan. Dengan itu alat muzik tersebut menjadi penyebab
seseorang yang telah meninggalkan amalan meminum arak kembali
melakukannya. c) Terdapat ijma’ ulamak
mengenainya, kerana ia telah menjadi amalan orang-orang fasik. Oleh itu
ia dilarang kerana menyerupai mereka. Ini kerana sesiapa yang
menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk di kalangan kaum tersebut.
KESIMPULAN
Daripada perbincangan di atas kita dapat membuat beberapa kesimpulan sepertimana berikut:-
a) Pada umumnya terdapat tiga pendapat ulamak mengenai kedudukan hukum alat-alat muzik. Mereka itu ialah:
One)
Yang mengharamkan semua jenis dan bentuk alat muzik kecuali al dufuf
iaitu kompang atau rebana yang dipukul ketika majlis pernikahan kerana
terdapat hadis yang sahih mengenai keharusannya. Namun ia tidak harus
memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang
masyhur. Tetapi lawan pendapat yang masyhur adalah harus memukul alat
rebana atau kompang dalam semua upacara majlis kegembiraan umat Islam.
Two)
Yang mengharuskan semua jenis dan bentuk alat-alat muzik. Mereka
berpendapat bahawa yang haram itu bukalah zat atau ain alat muzik itu
sendiri tetapi faktor-faktor luar yang mengiringinya itu yang
menentukan sama ada ia menjadi haram atau sebaliknya.
Three)
Yang mengaharamkan beberapa jenis alat muzik - iaitu al Mizmar, al
Awtar dan Thoblu al Kubah – dan mengharuskan selain daripadanya.
b)
Ketiga-tiga golongan ulamak tersebut di atas mempunyai hujjah dan
dalil-dalil yang masing-masing mempunyai kekuatannya yang tersendiri.
Dalam perbincangan ini, penulis tidak berhajat untuk mentarjihkan
(menentukan manakah pendapat yang paling kuat dan sahih). Apa yang
penting di sini ialah kita dapati bahawa persoalan berkenaan dengan
hukum alat muzik ini merupakan satu perkara yang menjadi khilaf
(perselisihan pendapat) di kalangan ulamak. Mereka tidak sepakat
mengenainya. Ini bermakna ia tidak termasuk dalam perkara ijmak para
ulamak. Inilah yang ditegaskan oleh al Syeikh Ja-du al Haq dalam kitab
Fatawa beliau. Dalam fatwanya itu beliau telah menolak dakwaan
sesetengah golongan yang mendakwa bahawa persoalan muzik dan
mendengarnya adalah termasuk dalam perkara ijmak para ulamak. Penolakan
beliau itu berdasarkan kepada apa yang dihuraikan oleh al Imam al
Syaukani di dalam risalahnya yang bertajuk Ibtol Da’wa al Ijma’ ‘ala
Tahrim Mutlak al Sima’ – iaitu Membatalkan Dakwaan Ijma’ Para Ulamak Ke
Atas Hukum Haram Mendengar Muzik Secara Mutlak. Dengan ini, maka
sewajarnyalah kita saling meraikan dan menghormati pendapat atau
pendirian golongan yang mungkin berbeza dengan pendapat atau pendirian
kita. Kita tidak boleh menghukum secara muktamad umpamanya mengatakan
bahawa dia adalah haram sama sekali dan sesiapa yang menggunakannya
maka berdosa, menjadi fasik dan ditolak kesaksiannya. Kita seharusnya
berhati-hati apabila mengeluarkan hukum khususnya yang melibatkan halal
dan haram. Imam Malik pernah berkata: Tidak pernah menjadi sikap
golongan yang telah mendahului kita yang telah menjadi ikutan
mengatakan: “ Ini halal, itu haram. Sebaliknya mereka berkata: Saya
tidak suka ini, saya berpendapat begini ”. Dalam menentukan hukum, kita
seharusnya juga mengambil kira dari sudut kepentingan dan kemaslahatan
dakwah. Lebih-lebih lagi dalam keadaan masyarakat kita pada hari ini
yang kelihatan hampir sudah sebati dengan bentuk hiburan yang
menyimpang daripada ajaran Islam. Janganlah kerana sesuatu keputusan
hukum yang diambil itu boleh menyempitkan ruang dan peluang
menyelamatkan masyarakat daripada keadaan tersebut. Di samping itu kita
tidak lupa bahawa apa yang dikatakan keseronokan, hiburan dan
seumpamanya merupakan satu sifat kehendak naluri manusia semulajadi
yang tidak boleh kita hapuskan. Persoalannya bagaimana kita hendak
ketengahkan bentuk hiburan yang diizinkan syarak atau alternatif kepada
hiburan yang ada pada hari ini tanpa kita menafikan kehendak naluri
manusia itu.
c) Melihat kepada senario
industri muzik pada hari ini, khususnya yang melibatkan artis-artis
wanita tanah air atau yang diimport dari negara-negara luar, maka
penulis tidak-tidak teragak-agak untuk menghukum haram ke atasnya. Ini
kerana jelas kepada kita keadaan mereka yang mendedahkan aurat secara
terbuka, mengenakan solekan yang agak keterlaluan, menari berlenggang
lenggok di atas pentas dengan pakaian menjolok mata, pergaulan bebas
tanpa batasan antara lelaki dan perempuan, lirik lagu yang memuja cinta
dan manusia dengan suara yang lunak dan memukau para penonton, melalai
dan mengkhayalkan anak-anak muda sehingga kadang-kadang sampai kelarut
malam sepertimana persembahan yang pernah berlaku di Dataran Merdeka
atau Bukit Jalil yang kelihatan penuh dengan sampah-sampah terdiri
daripada kondom, botol-botol arak dan seumpamanya, dan…..dan…begitulah
seterusnya. Inilah perancangan musuh khususnya Yahudi Laknatullahi
‘Alaihim dan sekutunya-sekutunya termasuk golongan yang bertopengkan
Islam bagi tujuan menjauhkan anak-anak muda daripada Islam. Pendek
kata, keadaan dan bentuk hiburan di tanah air kita pada hari ini telah
jauh menyimpang daripada batas-batas syariat. Bukan kerana alat-alat
muzik yang dimainkan kerana ia masih terdapat kekhilafan di kalangan
ulamak tetapi bentuk perlaksanaan dan persembahan itu yang sememangnya
disepakati atau ijmak para ulamak akan pengharamannya apabila berlaku
keadaan yang disebutkan di atas. Bagi golongan ulamak yang mengharuskan
alat-alat muzik, bermain dan menggunakan alat muzik dalam majlis yang
haram atau untuk perkara-perkara yang haram atau yang boleh membawa
kepada kemungkaran maka hukum bermain dan menggunakannya juga adalah
haram. Jika tidak, maka hukumnya adalah harus.
iv)
Perselisihan pendapat di kalangan ulamak mengenai hukum mendengar atau
menggunakan alat-alat muzik ini khususnya apabila terdapat pendapat
yang mengharuskannya dengan syarat-syarat tertentu, tidak seharusnya
diambil kesempatan untuk mengambil sikap bermudah-mudah dengannya atau
memandang ringan terhadap penggunaan alat-alat muzik tersebut.
Pandangan atau kenyataan yang sering mengaitkan alat-alat muzik dengan
kelalaian, kefoya-foyaan, budaya lepak dan membuang masa, kekhayalan
yang ke semua itu akhirnya mungkin menjebakkan seseorang ke lembah
maksiat tidak boleh dipandang ringan atau dinafikan begitu sahaja.
Barangkali pandangan atau kenyataan tersebut ada kebenarannya,
terutamanya apabila melihatkan keadaan masyarakat yang terlalu lemah
iman khususnya generasi muda yang mudah terpengaruh dengan budaya yang
tidak sihat dan hanyut dengan keseronokan dunia pada hari ini. Oleh itu
penulis berpendapat bahawa walaupun mungkin kita bersetuju dengan
pendapat golongan ulamak yang kedua ini, ia tidaklah bermakna kita
boleh mendengar atau menggunakannya semahu-mahunya. Kalau boleh
dielakkan daripadanya maka itulah sebaik-baiknya, kerana mengambil
jalan ihtiyathi – إحتياطي-
iaitu mengambil sikap berwaspada dan berhati-hati agar lebih selamat –
itu adalah sangat digalakkan dalam Islam. Sekiranya hendak
menggunakannya juga maka biarlah dengan sebab yang kukuh dan munasabah
serta wujud keperluannya. Sekali sekala mendengar atau menggunakannya
untuk mengetuk pintu kesunyian maka itu barangkali tidaklah menjadi
halangan. Asalkan ia tidak menjadi kelaziman dan kebiasaan kerana kita
bimbang ia mungkin boleh melalaikan hati yang menyebabkan lemahnya iman
kita yang sememangnya sudah sedia lemah ini. Pendek kata, walaupun ia
harus pada setengah pandangan ulamak tetapi kita juga di waktu yang
sama hendaklah berhati-hati dengannya.
والله أعلم بالصواب وهو حسبنا ونعم الوكيل وإليه المآب
RUJUKAN
1-
Al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi; Idhohu al Dilalat fi Sama’i al Alat.
Cetakan I, 1401H / 1981M. Dar al Fikr al Mu’asir, Beirut.
2- Al Imam al Syaukani; Nailu al Awtor. Juzuk 8. Dar al Jail, Beirut.
3- Al Ustaz Mustofa Ahmad al Zarqa; Fatawa Mustofa al Zarqa. Cetakan I, 1420H / 1999M. Dar al Basyir, Jeddah.
4-
Al Syeikh Ja-du al Haq Ali Ja-du al Haq. Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi
Qodhoya Mua’sirah. Juzuk 5. Al Azhar al Syarif. Mesir.
5- Dr.Yusuf al Qardhowi; Malamih al Mujtama’ al Muslim Allazi Nansyiduhu. Cetakan I, 1414H / 1993M. Maktabah Wahbah, Kaherah.
6-
Dr.Yusuf al Qardhowi; al Halal Wa al Haram Fi al Islam.Terjemahan
Muammal Hamidy. Cetakan ke IV, 1987. Pustaka Nasional, Singapura.
7- Dr. Ahmad al Syarbasi; Yas’alunaka fi al Din wa al Hayat. t.th. Dar al Jail, Beirut.
8-
Dr. Abdul Fattah Mahmud Idris; Hukmu al Ghina’ wa al Ma’azif fi al Fiqh
al Islami. Cetakan II, 1415H / 1994M. Universiti al Azhar al Syarif,
Mesir.
9- Pehin Datu Seri Maharaja Ust.
Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Islam Dan Muzik: Fatwa Mufti Kerajaan
Brunei. Cetakan II, 2001.MR Prind Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.
Boleh Download di http://www.bukitbesi.net
Note: Sumber dari laman web Mirwana.net-sudut Tazkirah-Mirwana."
|
|
Posted on Thursday, March 27 @ 13:26:00 EDT by islah |
|
|
|
| |
|