"Maafkan saya kerana saya tidak bijak mengarang. Saya bukan penulis. Apa yang saya ingin ceritakan pun hanyalah tetang monyet,haiwan yang sering jadi bahan sendaan kita, bukannya tentang wang, saham, barang kemas, kekasih yang jelita mahupun banglo besar. Saya tidak bijak bercerita tentang itu...
Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk
mengunjungi rumah seorang saudara.Sewaktu kereta melalui hutan rekreasi
Hulu Bendul di kuala Pilah, nun di depan sana ,saya lihat ada
sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi jalan yang sibuk. Ia seperti
terburu-buru untuk melintas.
Saya terus memandu dan sewaktu
kereta semakin hamper,saya terkejut kerana ada seekor monyet
menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar salah sebuah kereta di
hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan memperlahankan kereta.
Kereta
semakin hamper dan dada ini berdebar apabila melihat monyet itu terus
menggelupur dan menghempas-hempas ke atas jalan. Kakinya terketar-
ketar. Di sisinya ada darah dan cebisan daging.
Tapi
paling menyentak perasaan saya ialah apabila melihat perutnya yang
buncit itu terburai, dan dari celah luka besar itu tersembul sesuatu
berwarna kelabu. Tahukah pembaca, benda apakah yang saya lihat itu?
Benda kelabu itu adalah anak yang masih dalam kandungannya!
Pada ketika itu saya terasa tubuh ini menggeletar. Saya pasti, si ibu
monyet tadi akan mati sebentar lagi. Begitu juga dengan anaknya,nyawanya melayang sebelum sempat melihat wajah ibu.
Sebaik
melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Saya nampak
kawanan monyet tadi bercempera. Ia berlari-lari mendapatkan si ibu
tadi, tapi kemudian bertempiaran semula ke tepi jalan kerana hamper
saja dilanggar kenderaan yang lalu-lalang.
Mungkin kepada
pembaca sekalian, apalah ada pada nyawa seekor monyet. Ia hanya monyet.
Haiwan hodoh. Hidupnya di hutan, tidak setaraf dengan manusiawi.
Tapi tidak kepada saya. Pulang bercuti, saya terus catatkan surat ini,
kerana
peristiwa yang saya sebutkan tadi sebenarnya telah mengingatkan saya
kepada sebuah peristiwa yang berlaku pada awal 1990-an.
Ketika
itu usia saya masih di awal 20-an. Hari itu, saya diajak oleh seorang
bapa saudara untuk memburu di hutan berhampiran rumah. Saya bukanlah
minat memburu, tapi daripada bosan terperap di rumah, saya terima
ajakan bapa saudara saya tadi.
Masih saya ingat, beberapa jam
berburu,matahari pun sudah meninggi, tapi tiada seekor haiwan pun
melintas di hadapan kami. Pelanduk , napuh, rusa, ayam hutan dan burung
yang selalu berlegar di hutan itu, seolah-olah bersembunyai jauh dari
kami. Hutan itu sepi .
Saya bertambah rimas, pak cik pula saya
lihat mula kecewa. Hari kian beranjak petang, pak cik menepuk-nepuk
senapang Relanya. Kata pak cik,
" Kita balik ajalah, hari ni tak
ada apa-apa.Mungkin esok ada habuan." Kami berjalan pulang, tapi selang
dua tiga puluh langkah, kami terdengar suara riuh-rendah di sebalik
pokok-pokok besar di hadapan kami. Saya mengamati suara itu, ternyata
ia datang dari sekawan monyet yang sedang memakan buah-buah hutan.
Saya
perhatikan pak cik begitu berminat memerhatikan haiwan itu.Di bibirnya
ada sebaris senyuman. Senyuman yang saya faham benar maksudnya. Adakah
pak cik hendak menembak monyet-monyet itu?
"Haa. Pak cik nak tembak ibunya, lepas tu pak cik nak ambil anaknya, nanti boleh bela, " begitu jawapan pak cik.
Masih
saya ingat juga, saya beberapa kali mendesak pak cik supaya membatalkan
hasratnya itu, tapi gagal. Saya gagal mengendurkan niatnya. Tidak akan
saya lupa kata-kata pak cik petang itu, "daripada balik tangan kosong?
" lalu dia mengacukan senapangnya ke arah kawasan monyet tadi,
dan ? DAMMM!!!
Demi
berdentum saja senapang, bercempera dan lintang-pukang monyet-monyet
tadi menyelamatkan diri. Hutan itu riuh dengan bunyai ranting patah
serta jerit pekik haiwan berkenaan.
BUUUPP! Ada suatu benda yang jatuh ke tanah.
Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berdekatan kami. Saya dan pak cik terus
mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat. Anaknya yang
tidak mengerti apa-apa terlepas dari pelukan ,tercampak tidak jauh dari
ibunya, sambil menjerit-jerit.
Si ibu merengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah. Ia
cuba bangun. Dengan besusah payah sambil tangannya mencapai akar-akar pokok untuk mendekati anaknya. Sebelah tangan lagi menekap perut yang masih berdarah.
Ia berusaha melangkah tapi terjatuh semula. Digagahi lagi sambil
berguling- guling ke arah anaknya. Si anak yang baru pandai berjalan,
jatuh, bangun mendapatkan ibunya.
Si anak itu terus saja memeluk ibunya yang kesakitan. Masih terbayang jelas di ingatan saya bagaimana si ibu monyet tadi memegang tubuh dan menatap wajah anaknya puas-puas, kemudian dicium berkali-kali.
Setelah itu dibawa si anak ke dada lalu disuakan susunya.
Saya
dan pak cik terdiam melihat si anak mengisap susu manakala ibunya
mengerang-ngerang perlahan seakan memujuk sambil menahan sakit.
Hati
saya tersentuh. Betapa si anak yang baru melihat dunia tidak tahu
bahawa ibu tempat dia bermanja akan pergi buat selama-lamanya. Saya
tidak mampu menyelami fikiran ibu monyet tadi, tapi mungkin ia ingin
memeluk anaknya buat kali terakhir, sepuas-puasnya, kerana selepas ini
ibu akan pergi.
Ibu tidak akan dapat memelukmu lagi apabila kau
kesejukan, menyuap mulutmu bila kau merengek kelaparan,
juga melindungimu bila kau kepanasan.
Mata si ibu monyet itu memandang ke arah kami. Tangannya
memeluk erat si anak seolah-olah enggan melepaskannya, biarlah ia mati bersama anaknya.
Matanya saya lihat digenangi air, masih tidak lepas memandang kami dengan pandangan sayu, mungkin ingin menyatakan betapa kejamnya manusia.
Dosa apakah yang aku lakukan hingga aku ditembak?
Salahkah aku bebas ke sana ke mari di bumi indah ciptaan Allah ini?
Tubuh ibu monyet itu berlumuran darah, begitu juga dengan
si anak yang masih di pelukannya. Beberapa detik kemudian, dengan
tenaga yang masih berbaki, kami lihat si ibu mencium anaknya untuk ke
sekian kalinya. Perlahan-lahan tubuhnya terkulai ditanah, bisa penabur
dari muncung senapang pak cik tadi tidak dapat ditanggung lagi.
Si anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan melarikan
diri dari situ, tapi si ibu sudah tidak bernyawa lagi. Puas menjerit,
si anak tadi menyusu semula.
Di saat itu perasaan saya terlalu sebak. Saya perhatikan
pak cik, dia beberapa kali menggetap bibir cuba menahan air matanya daripada tumpah ke pipi.
Tapi bila melihat si anak monyet tadi menjerit dan menggoncang- goncang tubuh
ibunya, akhirnya air mata kami tumpah juga. Saya betul-betul kesal dengan
apa yang berlaku.
Susana sunyi kembali. Si anak monyet itu kami rangkul dan bawa pulang,
Biarpun ia terus menjerit-jerit dan enggan berpisah dengan ibunya yang telah mati.
Di dalam kereta saya hanya mendiamkan diri. Begitu juga pak cik. Pada
ketika itu saya dapat merasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh satu
nyawa yang tidak berdosa. Biarpun monyet itu hanya haiwan yang hodoh, tapi
mereka juga ada perasaan, ada rasa kasih kepada anak, rasa sayang kepada
ibu. Tapi kita manusia??
Mana hilangnya akal waras kami?
Selang dua minggu kemudian, anak monyet tadi mengikut jejak ibunya. Pak
cik memberitahu saya, anak monyet itu tidak mahu makan dan asyik menjerit-
jerit sahaja. Mungkin ia rindukan ibunya. Apabila malam, keadaannya bertambah
teruk, dan akhirnya mati.
Kini saya sudah bekerja dan berumah tangga. Peristiwa tadi sudah saya
ceritakan kepada anak dan isteri saya agar mereka mengerti bahawa haiwan
juga punya perasaan. Yang kejam adalah manusia, walaupun kitalah satu-satunya
makhluk yang Tuhan anugerahkan akal fikiran. Tidak lupa saya memberitahu mereka betapa agung dan sucinya kasih sayang ibu.
amal_maahad@yahoogroups.com"